Setiap pasangan yang ingin berkahwin, pastinya mahukan kulit yang sihat dan mulus di hari bahagian mereka. Tidak kisah lelaki atau perempuan, semestinya merekalah yang akan menjadi ‘watak utama’ sempena majlis perkahwinan mereka. Tetamu sudah tentu akan memberi tumpuan kepada pengantin dan tidak lupa juga muka yang berseri menjadi titik fokus kepada pengantin. Oleh itu, masker bahan semulajadi untuk bakal pengantin boleh digunakan sebelum hari bahagia anda.
Penggunaan bahan semulajadi dari buah-buahan dan sayur-sayuran mampu melembapkan dan menganjalkan kulit. Selain itu, bahan semulajadi ini selamat untuk digunakan tanpa perlu risau akan bahan sampingannya. Kepada bakal pengantin yang mempunyai masalah kulit sensitif, masker bahan semulajadi ini sangat sesuai untuk anda. Teruskan membaca untuk tahu apakah bahan semulajadi yang boleh dibuat masker secara DIY.
Masker Tomato
Menurut kajian, tomato mampu mengecutkan jerawat dan menghaluskan liang pori. Ini kerana kandungan antioksidan seperti likopena dan zeaxanthin dalam tomato mampus merawat kerosakan pada kulit. Selain itu, untuk wajah yang berminyak juga boleh menggunakan tomato sebagai masker semulajadi. Caranya adalah dengan memotong tomato dan ramas tomato tersebut dengan sudu sehingga mengeluarkan lendirnya. Kemudian, ambil lendir tersebut dan oleskan ke seluruh muka. Biarkan kering dalam 20 – 30 minit sebelum dibilas dengan air bersih.
Masker Aloe Vera
Kebaikan lidah buaya atau aloe vera dapat meningkatkan kelembapan kulit yang kering. Batang daripada pokok lidah buaya ini mempunyai gel yang mempunyai banyak zat untuk kulit muka. Aloe vera mengandungi vitamin, antioksidan, mineral dan asid amino yang boleh mengubati pelbagai masalah kulit. Antaranya seperti parut, sunburn, radang kulit dan luka dingin. Teksturnya yang dingin jika dioles mampu menenangkan kulit anda. Cara untuk memakai masker aloe vera ini adalah dengan memotong bahagian kulit lidah buaya dan oleskan saja pada kulit anda. Jika mahu lebih senang, beli sahaja di kedai kecantikan yang menjual aloe vera ‘ready made’ ini, dan oles pada wajah anda.
Masker Kunyit
Komponen antioksidan dan antiradang yang terdapat di dalam kunyit dapat memberikan kilauan dan cahaya pada kulit serta memulihkan kulit. Masker kunyit juga mampu mengurangkan kemerahan pada kulit akibat jerawat serta memberikan kelegaan pada kulit yang bermasalah. Ini termasuk pada masalah kulit akibat ekzema dan rosacea. Kunyit dapat membantu membunuh bakteria yang menjadi punca jerawat pada kulit. Anda boleh mencuba membuat masker kunyit dengan mengupas kulit 1 inci kunyit dan dicampurkan dengan yogurt Greek. Gaul hingga rata dan bolehlah dioleskan pada kulit anda. Jika tidak mempunyai kunyit, anda boleh gunakan serbuk kunyit sebagai gantinya.
Masker Timun
Selain sedap dibuat ulam dan dimakan pula dengan sambal belacan, timun juga banyak manfaatnya untuk kulit. Timun mampu mengurangkan masalah jerawat dan melembapkan kulit wajah. Lingkaran bawah mata yang gelap atau mata panda juga dapat dikurangkan jika anda kerap menggunakan timun sebagai masker mata anda. Timun mengandungi vitamin C dan zat kafeat yang boleh mengurangkan radang dan iritasi pada kulit wajah. Selain itu, timun mempunyai kandungan air sehingga 96% yang dapat menghidrasi kulit dengan sempurna. Cara membuat masker timun ini adalah dengan blender sebiji timun sehingga sedikit chuncky. Cuci muka dengan air hangat dan oleskan air timun yang dicampurkan dengan bedak sejuk ke muka. Biarkan sehingga 15 minit sebelum dibasuh mengunakan air bersih.
Masker Yogurt
Selain bermanfaat untuk proses pencernaan badan, yogurt juga mempunyai nutrisi yang baik untuk perawatan kulit muka. Banyak produk kecantikan kulit yang memasukkan yogurt ke dalam bahan pembuatan produk mereka. Yogurt dipercayai mampu meningkatkan kesegaran dan penampilan kulit. Manfaat dari yogurt untuk wajah berasal dari kandungan zink dan kalsium di dalamnya dapat merangsang regenerasi sel kulit. Cara untuk membuat masker yogurt ini adalah dengan membeli yogurt Greek atau yogurt asli di pasaraya. Sejukkan di dalam peti sejuk dan cuci muka dengan air hangat terlebih dahulu sebelum oleskan yogurt pada muka anda. Biarkan kering sekama 15 minit, kemudian bilas dengan menggunakan air yang bersih.
Masker Lemon
Manfaat lemon adalah sebagai salah satu cara dalam mencerahkan kulit secara semulajadi. Kandungan buah lemon yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan mampu melindungi kulit dari radikal bebas supaya kulit kelihatan lebih cerah. Vitamin C dan antioksidan yang terdapat di dalam lemon mampu melawan radikal bebas yang menjadi penyebab utama kulit kelihatan kusam. Selain mencerahkan kulit, lemon mampu mengatasi jerawat dan menghilangkan bekas jerawat serta memudarkan parut. Bintik hitam yang terdapat di permukaan kulit juga dapat dikurangkan sekiranya anda menggunakan masker lemon secara kerap. Caranya adalah dengan mencampurkan 1 senduk air perahan lemon dengan 1 senduk madu atau air. Olekan kemuka anda hingga rata dan tunggu sehingga 10 minit, bilas dengan air bersih dan keringkan wajah.
Masker Kulit Kayu Manis
Kulit kayu manis atau cinnamon mempunyai kandungan antioksidan dan anti-kulat yang dapat membantu mencantikkan kulit anda. Bahan ini juga membantu membuang sel-sel kulit mati dan mengembalikan keanjalan kulit. Masker kulit kayu manis boleh digunakan secara pupur atau scrub muka. Caranya adalah dengan mencampurkan serbuk kulit kayu manis, madu, garam, minyak zaitun dan gosokkan secara perlahan pada kulit muka. Gosok secara membulat selama dua minit dan basuh menggunakan air bersih. Lap muka dengan menggunakan tuala bersih yang kering.
Masker Teh Hijau
Selain dibuat minuman teh hijau latte ais yang diminum ketika cuaca panas, teh hijau juga dapat memberi manfaat kepada kulit. Manfaat teh hijau untuk kecantikan kulit adalah untuk melambatkan proses penuaan, mencegah kedutan, mencegah kanser, melindungi kulit dari sinaran matahari serta mengatasi masalah jerawat. Kandungan vitamin, saponin, theophyline, theobromine yang terdapat dalam teh hijau ini membantu masalah kulit yang dihadapi oleh mereka yang menghidap penyakit kulit. Cara membuat masker teh hijau ini adalah dengan mengambil 1 senduk serbuk teh hijau yang dicampurkan dengan 1 senduk madu. Oleskan pada kulit muka anda dan tunggu hingga kering dalam 5 hingga 10 minit. Cuci muka dan lapkan muka sehingga kering.
Masker Avocado
Selain rasanya yang cukup enak untuk dijadikan bahan diet yang seimbang, avocado juga membantu memberi manfaat baik untuk kecantikan kulit di muka. Masker avocado adalah bahan terapi yang dapat mencantikkan kulit muka anda dan mempertingkatkan kehalusan kulit. Buah avocado mempunyai kandungan asid lemak omega-3 dan antioksidan serta vitamin A, B, K dan E. Vitamin-vitamin ini dapat membantu meningkatkan kesihatan kulit anda. Cara untuk membuat masker avocado ini adalah dengan melumatkan satu biji avocado hingga lembut. Tambahkan sedikit minyak kelapa serta gel aloe vera dan campurkan bersama avocado tadi. Lumurkan pada muka dan biarkan kering sehingga 15-20 minit sebelum dicucui dengan air bersih.
Masker Madu
Tidak dinafikan, madu mempunyai tekstur rasa yang manis dan enak dibuat makan dengan pancake. Namun, madu juga dapat memberikan manfaat untuk kesihatan kulit yang sempurna. Manfaat masker madu dapat membuatkan kulit muka menjadi lebih lembap dan berseri. Terdapat kandungan humektan pada madu yang dapat menjadikan kulit yang kering terlihat lembap. Selain itu, zat pemanis pada madu dapat membaiki tekstur kulit di samping menjadikan kulit anda akan kelihatan lebih anjal. Cara membuat masker madu ini adalah dengan mengambil 2 senduk madu asli yang dicampurkan dengan minyak jojoba. Pastikan anda menggunakan madu asli, bukan madu yang dibeli untuk masakan. Biarkan selama 10 minit dan basuh menggunakan air yang bersih.