Pakaian tradisional mewakili suku kaum di Malaysia mengikut negeri. Baju kurung adalah satu daripada contoh pakaian tradisional Malaysia yang sering mendapat tempat di kalangan kaum lain kerana ia selesa dipakai.
Tetapi, tahukah anda terdapat pelbagai jenis baju kurung dan baju tradisional yang unik bagi setiap negeri atau suku kaum di Malaysia? Kebelakangan ini, baju tradisional songket amat disukai oleh pengantin untuk dipakai di hari bahagia mereka. Maka, bolehlah anda menelusuri pakaian tradisional mengikut negeri anda.
MBRIDE akan membawakan kepada anda pakaian tradisional Malaysia mengikut negeri. Keunikan pakaian tradisional yang berbilang kaum dan jenis adat inilah yang menjadikan kemegahan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian suku kaum dan adat. Ayuh teruskan membaca untuk mengetahui jenis pakaian perkahwinan tradisional Malaysia mengikut negeri.
Pakaian Tradisional Johor
Baju Johor yang lebih terkenal sebagai Baju Kurung diertikan sebagai jenis fesyen pakaian yang dibuat khas untuk menutup atau “mengurung” seluruh anggota lelaki dan perempuan. Baju kurung lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri persamaan seperti berpesak dan berkekek, berleher bulat (bulan-bulan), bertikam “tulang belut” dan berkancing satu, namun terdapat beberapa perbezaan yang ketara dari segi potongan dan cara memakainya.
Pakaian Tradisional Masyarakat Kedah
Di Kedah, pakaian tradisional yang terkenal ialah Baju Kedah. Baju Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thai. Pakaian ini dipakai oleh ramai wanita Kedah. Baju Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian sehari-hari atau pakaian basahan. Ia dibuat singkat sampai keparas punggung dan biasanya dipakai dengan kain batik atau pun pelikat tanpa banyak hiasan. Orang lelaki Kedah pula gemar memakai Seluar Hitam dan Baju Baba yang juga berwarna hitam. Selain daripada Baju Baba, dipakai juga baju Melayu Cekak Musang dan Baju Petani Leher Johor, sampingnya Kain Pelikat Tapak Catur dan setangan dikepala ialah kain batik
Pakaian Tradisional Masyarakat Perak
Sejarah Kebudayaan Melayu, pakaian Puteri Perak, merupakan pakaian tradisi negeri Perak yang terdiri daripada baju, seluar panjang, kain samping dan selendang. Pakaian ini sama seperti baju kurung cekak musang yang dipakai oleh lelaki Melayu. Puteri Perak memakai baju pendek yang diperbuat daripada kain berbunga warna merah, biru, ungu dan kadang-kadang ada juga yang berwarna emas. Pakaian Cara Melayu turut menghuraikan tradisi pemakaian seluar di kalangan wanita diteruskan sebagai pakaian puteri dan wanita di Perak sebagai Pakaian perak atau potong Acheh-Perak dan Pahang.
Pakaian Tradisional Masyarakat Pahang
Pakaian tradisional Melayu terawal adalah ringkas, wanitanya mengenakan sarung yang menutup bahagian bawah tubuh hingga ke dada sementara lelakinya mengenakan baju ringkas, samada berlengan atau tidak, dengan seluar pendek hingga ke paras lutut. Bagaimanapun, apabila perdagangan dengan dunia luar berkembang maju, cara berpakaian orang Melayu mula mendapat pengaruh luar dan berubah menjadi lebih sofistikated. Pengaruh Islam yang kuat telah mengubah cara berpakaian orang Melayu kepada ciri-ciri yang bersesuaian dengan agama Islam.
Pakaian Tradisional Masyarakat Kelantan
Kelantan yang mendapat jolokan sebagai Negeri Cik Siti Wan Kembang mendapat pengaruh Siam terhadap pakaian tradisionalnya. Pakaian wanitanya mirip kepada pakaian wanita Siam dalam persembahan Makyong di mana mereka akan mengenakan mahkota dan tali pinggang besar (pending) di samping selendang yang besar. Pakaian lelakinya pula akan mengenakan jaket di luar.
Pakaian Tradisional Masyarakat Terengganu
Pada masa dahulu lelaki dari Terengganu memakai Baju Melayu Teluk belanga yang lebih pendek dari sutera Cina atau kain tenun yang dilengkapi dengan samping limar songket atau kain tenun Bugis. Wanitanya memakai Baju Kurung berpesak kembang dari kain sutera Cina atau kain tenun Terengganu berjalur benang emas atau bunga tabur. Selain dari itu terdapat juga pemakaian Baju Melayu Cekak Musang bagi lelaki dan Baju Kebaya bagi wanita. Lelaki berbaju Melayu Teluk belanga cara Terengganu, bersamping songket dan berbekung. Wanita berbaju Kurung Teluk Belanga songket bunga tabur serta berselendang.
Pakaian Tradisional Masyarakat Selangor
Kebaya Selangor atau dipanggil The Malay Dress dipadankan dengan kain sarung dan dipakai ketika melakukan aktiviti seharian dan menghadiri majlis perkahwinan. Antara ciri Kebaya Selangor ialah berpesak empat dihadapan, lurus, longgar dan berkekek. Selain itu bajunya labuh melepasi lutut, dipakai secara selisih, dilipat sedikit dibahagian leher dan disemat dengan kerongsang. Bagi lelaki pula, jaket dipakai di luar serta baju tenunan di dalam beserta samping dan tengkolok.
Pakaian Tradisional Masyarakat Perlis
Baju Kebaya Perlis jika dilihat dari pandangan hadapan, ia lebih menyerupai kepada bentuk baju kebaya. Dari sudut pandangan belakang pula, ia adalah seperti baju kebaya yang mempunyai kekek. Ini sama seperti baju kurung dan tidak bertulang di atas bahu.
Ukuran Kebaya Perlis diambil di bahagian-bahagian tertentu seperti bahu ke pinggang, pinggang, punggung, labuh baju, dan banyak lagi. Cara pengukuran baju Kebaya Perlis tradisional dan Kebaya Perlis yang agak moden adalah berbeza. Akan tetapi menghasilkan bentuk yang agak sama.Baju Kebaya Perlis turut diletakkan kerongsang hiasan di bahagian lipatan hadapan baju untuk menambahkan lagi seri si pemakai. Kerongsang tersebut diselitkan secara menyerong.
Pakaian Tradisional Masyarakat Melaka
Pakaian kaum lelaki yang masih popular hingga kini ialah Baju Melayu. Manakala pakaian wanita yang masih popular termasuklah Baju Kurung,Baju Kebaya Panjang, Baju Kebaya Pendek, Baju Kurung Kedah dan Baju Pahang. Baju Kurung Teluk Belanga berpotongan labuh dan longgar dipadankan dengan kain sama ada jenis songket, batik atau sutera. Hiasan di kepala wanita dipanggil sanggul lintang dan dada akan dihiasi Sibar Layang atau lapik dada dari fabrik baldu dan labuci.
Pakaian Tradisional Masyarakat Penang
Sejarah menyaksikan orang-orang asing seperti dari China dan India sebagai pedagang dan mencari kehidupan. Sehingga ke hari ini suasana budaya masyarakat Pulau Pinang dimiliki oleh tiga kaum terbesar di Pulau Mutiara. Antara kaumnnya itu iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Cina pula dengan Samfoo dan Cheongsam. Bagi golongan Baba lebih senang memakai Samfoo yang dipadan dengan seluar . Nyonya Pulau Pinang lebih menggemari Baju Kebaya Pendek berkain batik ataupun berkebaya Labuh Nyonya.